5.0 SINOPSIS
Negara sedang menuju ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju menurut acuan sendiri. Sehubungan dengan itu, sudah menjadi tugas pendidik yang bertindak sebagai pelaksana pendidikan untuk menyiapkan diri menghadapi gelombang inovasi dalam pendidikan yang sentiasa mengalami perubahan selaras dengan perkembangan global dan dunia tanpa sempadan. Seorang guru masa kini perlu bijak dalam menangani semua perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan, bijak mengenalpasti dan mengaplikasi pelbagai strategi dan kaedah yang inovatif dalam pendidikan, mahir dalam menggunakan semua jenis teknologi dalam pengajaran dan mampu menyesuaikan diri dalam perubahan teknologi tersebut. Seseorang guru masa kini juga perlu mahir dalam merancang reka bentuk resos yang inovatif serta mampu menggunakan pelbagai reka bentuk pentaksiran dan penilaian yang terkini serta inovatif. Diharap dengan kemampuan guru mendepani semua perubahan dalam sistem pendidikan masa kini akan mampu meletak Malaysia sebaris dengan negara-negara yang maju pada tahun 2020.
5.2 STRATEGI PENGAJARAN INOVATIF
5.2.1 Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning / PBL)
Definisi PBL
Proses pembelajaran ini berfokuskan tugasan berdasarkan isi pelajaran yang melibatkan kutipan dan analisis data serta penyediaan satu laporan yang lengkap dan betul secara holistik. Pelajar dapat melalui pengalaman belajar yang kompleks berdasarkan situasi sebenar terhadap permasalahan autentik yang memerlukan pemikiran kritis. Proses pembelajaran memerlukan pelajar mengaplikasi pelbagai sumber maklumat, menentukan dan mengurus sumber, masa dan bahan pembelajaran. Pelajar mempunyai autonomi dalam membina pembelajaran masing-masing dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka akan turut meningkat.
Kriteria Pemilihan projek PBL
Projek perlu menarik dan bermafaat serta dapat membina kemahiran baru, namun masih berfokus kepada aktiviti pembelajaran bukannya pentaksiran .
5.2.2 Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM)
Konsep PBM
Pembelajaran berasaskan masalah disokong oleh konsep pembelajaran secara kendiri bagi memudahkan para pensyarah dan pelajar melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan dan efektif. PBM merangkumi cabaran kepada keadaan penyelesaian masalah sebenar berkaitan topik yang dibincangkan, melibatkan penggunaan akal dan fikiran yang kritikal serta menyeluruh, kemahiran meyelesaikan pemasalahan yang berkaitan, memenuhi keperluan dan disiplin kerja atau tugasan, pembelajaran kendiri, gerak kerja berpasukan dan menguasai kemahiran komunikasi, serta bertanggungjawab dan gigih dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan.
Langkah-langkah Pembelajaran Berasaskan Masalah
i. Kemukakan masalah
ii. Jelaskan hasil pembelajaran
iii. Sediakan persekitaran pembelajaran yang selamat
iv. Sediakan bimbingan & strategi “coaching apprenticeship” dan “scaffolding”
v. Sediakan resos pembelajaran (modul pembelajaran, sumber pengayaan/ pemulihan, multimedia)
vi. “Debriefing”
vii Penilaian – secara berkumpulan dan individu
5.2.3 Pembelajaran Elektronik
Konsep pembelajaran elektronik Dimensi pembelajaran secara kolaboratif melalui perbincangan atau interaksi secara bersemuka dapat dilanjutkan dan diperluas lagi secara dalam talian selari (synchronous) atau tidak selari. Melalui pendekatan ini juga, pelajar mempunyai masa pembelajaran yang lebih anjal untuk berinteraksi sesama mereka atau dengan pensyarah. Pelajar dapat menjimatkan masa dalam proses pengukuhan fakta perbincangan melalui carian maklumat di internet tanpa perlu meninggalkan sesi perbincangan dalam talian. Infostruktur ICT dalam aspek e-pembelajaran, terdiri daripada tiga komponen utama iaitu perkakasan komputer (sistem server, sistem rangkaian dan komputer pengguna), perisian serta aplikasi e-pembelajaran dan pelbagai kategori pengguna (pengajar, pelajar, pereka bentuk pengajaran, pembangun kandungan dan staf teknikal).
5.2.4 Pembelajaran Berasaskan Laman Sesawang (PBLS)
Konsep PBLS
PBLS menggunakan gabungan streaming video, penerangan berbantukan power point, penerangan audio dan penyampaian- penyampaian lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran lebih luas dan kaya dengan sumber pembelajaran yang pelbagai dengan pautan laman berkaitan serta audio dan video. Maklumat pembelajaran, pentaksiran dan perkongsian idea serta pandangan menjadi lebih mudah, pantas dicapai dan dapat disebarkan melalui paparan menerusi laman sesawang.
5.3 PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN
5.3.1 Penggunaan Teknologi Dalam Pengajaran
Penggunaan teknologi dalam P&P telah dapat meningkatkan kualiti pengajaran. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah memberi kesan yang kuat hingga merubah kaedah dan teknik pengajaran tersebut. Antaranya ialah :
i. media tayang seperti powerpoint, video, filem dan papan interaktif. Penggunaan multimedia dalam pengajaran banyak membantu guru untuk mencapai objektif pembelajaran yang telah dirancang.
ii. Internet dalam pengajaran – penggunaan emel, blog, portal dan laman sesawang memberi ruang untuk guru membimbing dan mengukuhkan pembelajaran.
iii. Perpustakaan Maya - E-jurnal dan e-buku. Perpustakaan maya membolehkan pelajar mengakses pengkalan data (database) untuk mendapatkan maklumat.
iv. Web-based learning – Bahan P&P dengan mudah boleh dipaparkan di laman sesawang. Dengan cara tersebut maklumat mudah diakses oleh pelajar.
v. Pembelajaran secara atas talian (On-line learning) – Kewujudan rangkaian pendidikan yang berkesan membolehkan pendidikan jarak jauh dilakukan.
vi. Penggunaan ICT dalam P&P -Pendekatan terbaik yang sebenarnya ialah penggunaan ICT sesuai dengan keperluan murid, serta dapat membuahkan hasil yang diharapkan dalam jangka masa yang munasabah (PPK, 2001).
5.3.2 Impak Teknologi Dalam Pengajaran
1. Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran.
2. Penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan.
3. Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat.
4. Pelajar tidak mudah berasa jemu dan bosan.
5. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
6. Guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran
7. Mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan
pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT.
8. Membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan
pengetahuan terkini dengan lebih cepat serta efisen.
5.4 PERKEMBANGAN PERSEKITARAN PEMBELAJARAN
Guru pada hari ini berdepan dengan pelajar yang dikenali sebagai generasi internet. Mereka lebih selesa dengan dunia internet dan cekap serta pantas menguasai kemahiran dalam pelbagai unsur baharu dalam internet. Maka persekitaran pembelajaran juga perlu berubah daripada bilik darjah formal kepada bilik darjah maya, seterusnya akan mengubah
persekitaran pembelajaran kepada pembelajaran personal.
5.5 REKA BENTUK RESOS
5.5.1 Konsep Reka Bentuk Resos
Rekabentuk resos digunakan untuk membangunkan pelbagai jenis bahan pengajaran dan pembelajaran menggunakan resos tradisional seperti bahan bercetak, bahan 2-D dan 3-D ataupun resos terkini seperti bahan berbantukan komputer melalui pelbagai media audio-visual, pengaksesan maklumat, pembelajaran secara online dan jaringan sosial.
Model Reka Bentuk Resos
1. Model Berorientasikan Bilik Darjah
Guru merancang pelajaran untuk satu atau dua waktu dan menyediakan reka bentuk pengajaran sebelum masuk ke bilik darjah. Contoh-contoh model RP beroreintasikan bilik darjah adalah model Gerlach dan Ely (1980), model ASSURE (1996), model Kemp (1985) dan model Dick dan Reiser (1989).
2. Model Berorientasikan Produk
Contoh model yang berorientasikan produk adalah model Van Patten (1989), model Leshin, Pollock dan Reigeluth (1990) dan model Bergman dan Moore (1990).
3. Model Berorientasikan Sistem
Contoh model yang berorientasikan sistem adalah model IDI (1973), model IPISD (1975), model Dick dan Carey (1979), model Diamond (1989) dan model Seels dan Glasgow (1990).
5.6 REKA BENTUK PENTAKSIRAN DAN PENILAIAN YANG INOVATIF
Konsep Penilaian Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif bagi menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Ia sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran yang bertujuan memberikan maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap. Ia merangkumi aspek pengujian dan pengukuran.
Pentaksiran Pembelajaran
Tujuan pentaksiran adalah untuk memastikan pembelajaran berlaku seperti yang dirancang selain membantu guru merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran dapat memberikan manfaat kepada guru dan murid dalam bentuk maklum balas bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan Dalam Pentaksiran Pembelajaran
A. Pentaksiran Prestasi
Menilai perkembangan pembelajaran pelajar secara langsung apa yang dapat dibuat, bagaimana proses dan pengalaman pembelajaran. Proses ini menilai keupayaan pelajar dalam melakukan sesuatu atau menggunakan sesuatu kemahiran dalam menghasilkan sesuatu yang baharu. Pentaksiran dibuat melalui pemerhatian terhadap apa sebenarnya dialami dan dihasilkan oleh pelajar. Pentaksiran prestasi juga dikenali sebagai pentaksiran autentik.
B. Pentaksiran Berasaskan Portfolio
Portfolio ialah satu bentuk bukti proses perkembangan pembelajaran. Penyediaan portfolio merupakan antara keperluan dalam pentaksiran prestasi.
C. Pentaksiran Kendiri
Pentaksiran kendiri melibatkan pelajar menilai diri sendiri; apa yang telah dipelajari dan bagaimana dia mempelajarinya. Pelajar akan memantau perkembangan dan kemajuan pembelajaran mereka berdasarkan objektif dan hasil pembelajaran.
No comments:
Post a Comment